Sunday, July 3, 2011

1 Murid 1 Sukan.

sila klik sini untuk melihat gambar selebihnya.

Pada 2hb Julai yang lepas, program 1Murid 1Sukan telah dilancarkan dengan jayanya oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Tuan Haji Muhyidin bin Haji Mohammad Yassin di Padang Esplanade Taiping, Perak bermula seawal jam 7.30 pagi.

Warga SK Bandar Baru Putera dan juga komuniti kecil di sekitar Bandar Baru Putera berjaya menghadirkan diri untuk sama - sama memeriahkan sambutan program 1 Murid 1 Sukan peringkat sekolah yang diadakan seawal jam 6.30 pagi untuk pendaftaran. TAHNIAH diucapkan kepada ibu bapa yang sama - sama memberi semangat kepada warga pendidik SK Bandar Baru Putera untuk menjayakan program ini.

Petikan dari Utusan Malaysia.

TAIPING 2 Julai - Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung di seluruh negara berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian terbesar yang disertai oleh 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah.

Larian yang diadakan sempena pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan di Padang Dataran Perbandaran Taiping itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal pagi ini.

Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis tersebut menegaskan, sukan merupakan satu platform pembentukan sahsiah pelajar dan memupuk integrasi sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

"Saya amat berharap acara ini akan menjadi pemangkin ke arah pembudayaan sukan di kalangan semua murid di setiap sekolah di seluruh negara.

"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah untuk merealisasikan aspirasi ini dalam masa terdekat," katanya.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran pada Mac lalu antara lain bertujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Terdahulu, Muhyiddin melepaskan seramai 15,000 peserta larian yang terdiri pelajar dan murid daripada 30 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di sekitar bandar ini.

Larian yang bermula seawal 7.45 pagi dan sejauh 1.85 kilometer itu turut disertai oleh para guru dan ibu bapa.

Sementara itu, di MELAKA, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam melepaskan peserta Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia peringkat negeri yang disertai 3,000 pelajar melibatkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota, SMK Yok Din dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Seri Bandar.

Turut serta dalam larian itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Belia dan Sukan negeri, Datuk Gan Tian Loo dan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohamad Yusoff Osman.

Di KUALA LUMPUR, larian peringkat Wilayah Persekutuan berlangsung meriah dengan para peserta dilepaskan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Larian tersebut yang bermula di Padang Merbok itu disertai 2,500 pelajar dan warga pendidik melibatkan lima zon termasuk Putrajaya.

Di KOTA KINABALU, seramai 200,000 pelajar daripada 320 buah sekolah di seluruh Sabah mengambil bahagian dalam larian tersebut yang berlangsung serentak di seluruh negara.

Larian peringkat negeri yang disertai hampir 10,000 pelajar itu berlangsung di Stadium Likas dengan dilepaskan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...