Tuesday, July 21, 2009

Platform bangunkan perpustakaan digital

PENGETAHUAN teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah banyak diimplementasikan
secara meluas dalam pelbagai sektor dan industri.

Menerusinya, segala urusan serta tugas harian dapat dilaksanakadengan lebih mudah dan pantas hanya menggunakan akses dalam talian.


Di negara kita, perkhidmatan perpustakaan kini semakin menuju ke arah merealisasikan aplikasi ICT tersebut dari segi kandungan dan komponen infrastruktur.

Dalam usaha menyediakan platform perbincangan mengenai pembangunan tersebut, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) bersama Persatuan Pustakawan Malaysia akan menganjurkan Persidangan Perpustakaan Digital Ke-5 2009 (DL5) pada 20 hingga 22 Julai ini di Kuala Lumpur.

Program dwi tahunan yang telah bermula sejak tahun 1996 itu turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan di sokong oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Dengan teman Malaysia Digital: Pembangunan Perpustakaan Digital di Seluruh Negara' ia bakal menyebarkan maklumat mengenai status pelaksanaan perpustakaan digital di Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah PNM, Raslin Abu Bakar, penganjuran persidangan tersebut mempunyai objektif menyediakan platform kepada para pustakawan dan profesional dalam bidang ICT untuk berbincang mengenai perkembangan teknologi perpustakaan digital berasaskan web.

''Selain perbincangan mengenai kandungan digital, persidangan ini juga akan memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur dari sudut perkhidmatan.

''Kesinambungan daripada persidangan ini, kita berharap pembangunan rangka kerja perpustakaan digital nasional yang lebih baik dapat disediakan,'' katanya ketika di temui di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memberi fokus kepada pembangunan kandungan digital tempatan, penganjuran acara itu mempunyai matlamat menggalak dan membina daya kreativiti mengenai kebudayaan dan warisan.

Kandungan digital tersebut secara tidak langsung akan memberi kemudahan kepada pengguna terutama para pelajar mendapatkan informasi tempatan secara digital.

Setakat ini, PNM telah mengeluarkan beberapa kandungan digital tempatan seperti mengenai sejarah Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan warisan budaya

Selain itu, perpustakaan di institusi pengajian tinggi (IPT) juga telah mula menjilid tesis para pelajar dalam bentuk digital.

Melihat kepada inisiatif pembangunan perpustakaan digital, sejak tahun 2002 PNM telah menjadi peneraju kepada sistem Perpustakaan Digital Nasional (PERDANA).

rekod

Sistem tersebut menyediakan beberapa aplikasi seperti Katalog Induk Kebangsaan (KIK), simpanan pangkalan data dan juga pembangunan kandungan digital yang seragam sebagai panduan kepada perpustakaan-perpustakaan di bawahnya.

Selama empat tahun pembangunan KIK, ia telah berjaya mengumpul rekod lebih kurang tujuh juta judul buku daripada 101 buah perpustakaan utama seperti perpustakaan awam negeri dan universiti.

Data-data ini di ambil daripada perkhidmatan kad katalog yang dilaksanakan dahulu dan ditukar dalam bentuk digital.

Dengan menggunakan pangkalan data KIK, PNM juga bakal mewujudkan perkhidmatan perpustakaan Ubiquitous yang lebih mudah kerana ia boleh diakses di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Projek perintis untuk perpustakaan Ubiquitous akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini melibatkan enam perpustakaan dan pelaksanaan secara berperingkat-peringkat pula bakal dijalankan menjelang 2011.

Menurut beliau, antara cabaran pembangunan perpustakaan digital adalah dari segi penerimaan masyarakat untuk beralih dari cara konvensional kepada secara dalam talian.

Justeru, melalui persidangan berkenaan, selain pembentangan kertas kerja, terdapat lima bengkel penerangan bakal diadakan merangkumi pelbagai topik berkaitan.

Para peserta turut berpeluang mendapatkan maklumat daripada penceramah tempatan selain pakar perpustakaan yang didatangkan daripada Korea.

Seramai 220 peserta dari kalangan pustakawan, pegawai pengurusan maklumat, pembuat dasar dan para pelajar dijangka menyertai persidangan itu.

Ia bakal dirasmikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim.

Maklumat lanjut mengenainya boleh diperolehi melalui laman web www.pnm.gov.my.

** Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...